3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

“Jauh di mata, dekat di hati.”

Begitulah perasaan saya apabila melabuhkan punggung di rumah selepas hampir enam jam memandu dari utara. Kami telah menjelajahi Perlis[1] selama tiga hari, tempoh waktu yang cukup untuk pergi ke seluruh pelosok negeri Indera Kayangan.

Rasa rindu pula melihat gambar-gambar yang diambil, dari hutan belantara Wang Kelian hingga kudapan enak di Kuala Perlis. Ini adalah cerita pengembaraan kami di negeri paling kecil di Malaysia.

1) Hari 1 – Pagi: Beli-Belah Sakan Di Padang Besar

Membeli-belah dengan orang Malaysia berpisah tiada.

Kami bertolak awal pagi dari Kuala Lumpur dan mengambil Lebuhraya Utara Selatan sampai ke penghujung jalan. Destinasi pertama kami adalah Padang Besar, pekan yang bersempadan dengan negara Thailand.

Padang Besar cukup terkenal dengan bazar membeli-belah yang mempunyai pelbagai barangan dari pakaian hingga perkakas dapur. Kami berdua rambang mata melihat beratus-ratus kedai kecil sehingga kami tidak tahu mana nak mula!

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

Selepas beberapa jam “shopping” sakan, kami keluar dari Padang Besar dengan beg yang sarat dengan blaus wanita, jersi bolasepak, pakaian kanak-kanak serta keropok dan kacang khas dari Siam.

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-1 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

2) Hari 1 – Tengah Hari: Nikmati Masakan Kampung di Anjung Keli

Setelah tamat sesi membeli-belah, perut mula berkeroncong jadi kami singgah di Anjung Keli untuk makan tengah hari.

Anjung Keli sudah penuh dengan pengunjung ketika kami sampai jam 12:30 – nampaknya kami telah membuat pilihan yang baik. Selepas mendapat meja, aneka lauk disajikan.

Juadah masakan kampung Anjung Keli betul-betul kena dengan lidah kami. Kami pun menyantap habis ikan keli goreng, gulai kambing, sup tulang, sambal dan puluhan jenis ulam-ulaman yang sunguh jarang kami jumpa sebelum ini!

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-2 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

Photo credit: @anis_saliza[2]

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-3 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis Photo credit: @wansyahrulamry[3]

3) Hari 1 – Petang: Belajar Sejarah Perlis di Muzium Kota Kayang

Kami kemudian bergerak ke Muzium Kota Kayang yang terletak di antara Sungai Perlis dan Bukit Kayang. Muzium ini dulunya terdiri tapak bekas istana Sultan Kedah ke-15 ketika Perlis menjadi sebahagian daripada negeri Kedah.

Muzium Kota Kayang mempunyai galeri yang cukup menarik kepada peminat sejarah seperti saya dengan bahan dan artifak seperti kapak batu zaman Neolitik dan replika bunga emas yang dihadiahkan kepada Raja Siam sebagai ufti.

Kami juga menelusuri silsilah keturunan diraja dan adat istiadat yang unik. Perlis pernah bernaung di bawah pemerintahan Kedah dan Thailand serta pernah menjadi negeri yang berdaulat hingga menyertai Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

4) Hari 1 – Petang: Istirahat di The Putra Regency Hotel

Selepas penat mengembara satu hari, kini tibanya untuk berehat di The Putra Regency Hotel[4], hotel paling selesa dan mewah di Perlis. Hotel ini terletak di tengah-tengah ibu kota Kangar dan dikelilingi dengan pelbagai kemudahan seperti bank dan pasaraya.

Bilik “Superior Queen” yang ditempah sangat luas dan selesa. Lantai dilengkapi dengan kayu dan jendela besar membantu cahaya matahari masuk ke setiap sudut bilik. Kami sengaja memilih bilik di tingkat atas supaya dapat menikmati panorama Perlis yang indah!

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-4 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-5 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

5) Hari 2 – Pagi: Masuk Thailand & Nikmati Keindahan Alam Di Thale Ban National Park

Keesokan harinya kami bergerak awal ke Wang Kelian, pintu masuk kedua ke Thailand. Kami bergerak melalui jalan gunung yang berbengkang-bengkok dan turun ke satu lembah yang penuh dengan hutan tebal.

Kami akhirnya tiba di pondok imigresen dan selepas mencop pasport, kami akhirnya berada di dalam negara Siam. Kami singgah sebentar di pasar pagi yang betul-betul terletak selepas pos imigresen untuk membeli kain dan seluar bercorak batik “gajah.”

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-6 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

Tak sampai 10 minit dari pasar tersebut adalah destinasi kami – Thale Ban National Park.

Taman negara ini terdiri dari satu tasik besar dikelilingi bukit-bukau yang sesuai untuk melihat pelbagai spesis burung. Kami menghabiskan masa dengan menyusuri laluan berkayu sambil melepak di gazebo “terapung” di tepi tasik yang tenang.

6) Hari 2 – Petang: Terokai Gua Kelam Di Taman Negeri Perlis

Dalam perjalanan pulang ke Kangar, kami singgah sebentar di Taman Negeri Perlis. Di sana terdapat bukit batu kapur, hutan hujan tropika dan sistem gua yang panjang.

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-7 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

Mengingat masa kami yang singkat, kami mengambil keputusan untuk menerokai Gua Kelam, gua batu kapur yang mempunyai laluan air bawah tanah. Kami sangat terpesona dengan formasi stalaktit dan stalagmit yang diindahkan lagi dengan lampu berwarna-warni.

Gua Kelam mempunyai laluan pejalan kaki sepanjang 370 meter dari hujung ke hujung. Kami kerap berhenti dalam gua itu untuk mendengar bunyi derusan air sungai serta menjenguk kelawar yang sedang nyenyak tidur di atas siling.

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-8 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

7) Hari 3 – Pagi: Bergambar Dengan Sawah Padi dan Bukit Batu Kapur di Keteri

Hari terakhir di Perlis bermula dengan perjalanan ke Bukit Keteri, satu kampung yang mempunyai lanskap tercantik di Perlis. Kampung ini terkenal dengan dua bukit batu kapur yang tersergam megah dikelilingi ribuan bendang sawah.

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-9 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis Photo credit: @yattmansur[5]

Kami memandu “off-road” ke lorong antara sawah padi yang berlatarbelakangkan Bukit Keteri. Selepas mendapat “angle” yang cantik, kami tidak berhenti mengambil gambar dan swafoto menggunakan kamera dan telefon pintar sehingga bateri pun hampir habis!

8) Hari 3 – Tengah Hari: Hirup Semangkuk Laksa Kuala Perlis yang Unik

Selepas basah peluh dihujani cahaya matahari yang terik, kami berangkat ke Kuala Perlis untuk mengisi perut yang kosong. Seorang rakan sekerja mencadangkan agar kami cuba Laksa Kuala Perlis, satu varieti laksa yang belum pernah kami cuba.

Kami tiba di Laksa Kak Su tepat jam 12 tengah hari dan segera dihidangkan dua mangkuk ‘laksa kola.’ Bahan-bahan yang digunakan iaitu laksa beras dan kuah ikan selayang semuanya “home-made” jadi tidak hairanlah mee dan kuahnya rasa sangat segar.

9) Hari 3 – Petang: Rasai Bayu Laut Andaman di T Hotel Kuala Perlis

Hotel di Kuala Perlis tidak banyak pilihan jadi kami menempah bilik di T Hotel Kuala Perlis[6], hotel bajet yang terletak berhampiran dengan terminal jeti ke Langkawi. Bilik kami di tingkat atas selesa dan dihiasi dengan warna yang cerah.

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-10 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

Pada sebelah petang pula, kami berjalan-jalan di pesisiran pantai dan sempat menunaikan solat asar di Masjid Al-Hussain yang menghadap Laut Andaman. Masjid ini adalah mercu tanda Kuala Perlis yang dibina atas tiang agar nampak terapung ketika air pasang.

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-11 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

10) Hari 3 – Malam: Berpesta Makanan Laut di Ikan Bakar Kuala Perlis

Kami tamatkan pengembaraan Perlis dengan berpesta makanan laut di Medan Ikan Bakar Kuala Perlis. Hiruk-pikuk di dapur dan asap dari bakar arang dapat dirasai apabila orang ramai mula mengunjung gerai-gerai yang dibina di tepi laut.

Terdapat banyak sekali hasil laut yang susah kami jumpa di Kuala Lumpur, terutamanya kepah, kerang, lala dan juga belangkas. Selepas lama berfikir, kami akhirnya memesan ikan siakap bakar, sepinggan kepah, sotong goreng tepung dan sayur.

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-12 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

Setiap makanan laut cukup segar – ikan tidak hanyir, sotong tidak liat dan isi kepah amat manis – membuatkan lidah dan perut kami sangat berpuas hati. Apa yang membuatkan kami terkejut adalah bil kami setelah makan – kesemua makanan kami hanyalah RM40!

3-hari-di-negeri-indera-kayangan-perlis-13 3 Hari Di Negeri Indera Kayangan, Perlis

Dari mata orang ramai, Perlis tidak lah sepenting atau segah negeri-negeri lain di Malaysia tetapi bak kata pepatah, “kecil-kecil cili api.” Dalam banyak-banyak negeri yang pernah saya lawati, Perlis mempunyai sejenis keindahan yang tidak boleh dijumpai di negeri lain.

Jadi, kalau anda inginkan sesuatu destinasi yang unik, mai ke Perlis!

References

  1. ^ Perlis (www.expedia.com.my)
  2. ^ anis_saliza (www.instagram.com)
  3. ^ wansyahrulamry (www.instagram.com)
  4. ^ The Putra Regency Hotel (www.expedia.com.my)
  5. ^ yattmansur (www.instagram.com)
  6. ^ T Hotel Kuala Perlis (www.expedia.com.my)

Leave A Reply